Showing posts with label Tips Mengajar. Show all posts
Showing posts with label Tips Mengajar. Show all posts

7 December 2011

TIPS ANAK CEMERLANG
 Tips
    Bagaimana Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak?
       Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

Semua ibu bapa mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka.  Orang biasanya tidak tanya berapa duit kita tetapi mereka akan tanya apa keputusan yang diperolehi anak kita dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM.  Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan ia menjadi tajuk perbualan dikalangan jiran tetangga, sanak saudara dan rakan sejawat.  Tekanan inilah yang menyebabkan ramai ibu bapa cuba melakukan pelbagai usaha dalam membantu anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran.  Yang mampu, sanggup berbelanja besar menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang dikelolakan oleh guru-guru pakar.  Tekanan yang diterima dari masyarakat ini membuatkan ibu bapa ada ketikanya ‘memaksa’ anak-anak supaya cemerlang. 
Sebelum kita menekan anak-anak cuba semak diri kita dahulu.  Adakah kita telah memainkan peranan kita sebaiknya dalam membantu mereka merealisasikan kecemerlangan tersebut? 
Berikut adalah perkara yang perlu diteliti dan dipraktikkan:

Menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan, tempat belajar dll.

Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa.  Misalnya, pensil patah adalah suatu perkara yang remeh bagi kita tetapi ia besar bagi sesetengah anak terutamanya yang bersekolah rendah.  Tiada peralatan lengkap seperti alat geometri boleh membuatkan seorang anak malas untuk ke kelas dan hilang tumpuan serta minat belajar.  Buku yang tidak mencukupi boleh membuatkan anak memberi alasan untuk tidak belajar dan sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan guru.  Pakaian atau beg koyak boleh membuatkan anak malu dengan rakan-rakan dan tidak gembira untuk ke sekolah.  Oleh itu sebagai ibu bapa, tengok-tengoklah keperluan asas untuk anak ke sekolah ini sentiasa, bukan sekadar diawal tahun sahaja.
Sediakan satu bilik atau satu ruangan untuk anak-anak belajar di rumah.  Pastikan ruangan ini selesa, tenang, nyaman dan jauh dari gangguan.  Pastikan juga cahaya mencukupi dan ubah suai tempat belajar ini dari masa ke semasa bagi mengekalkan motivasi diri anak dan mood belajar mereka.

Tidak ragu-ragu untuk disiplinkan anak

Pelajar cemerlang adalah pelajar yang berdisiplin.  Sebagai ibu bapa kita mestilah mampu mendisiplinkan anak-anak dirumah dari segi kekemasan bilik, pengurusan masa, pengurusan diri serta tingkah laku mereka.  Galakkan anak-anak mengemas biliknya sendiri meskipun ada pembantu rumah yang boleh melakukannya.  Pupuk sifat bertanggung jawab dan berdikari dalam diri anak.  Duduk dengan anak dan bicangkan jadual harian mereka.  Terangkan pada anak-anak betapa pentingnya mempunyai masa yang seimbang diantara belajar, beribadah, riadah, sosial, rehat, bersama keluarga dan sebagainya.  Jadual yang disediakan ini mestilah fleksibel sebab anak-anak bukannya robot yang boleh menepati waktu setiap hari.  Anak cemerlang adalah mereka yang ada peraturan sama ada di rumah atau di luar.  Adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai ibu bapa untuk mendisiplinkan mereka.
 
Mengawasi dan menemani anak

Ibu bapa boleh meningkatkan komitmen belajar anak dan merangsang minat mereka dengan menemani anak ketika waktu belajar mereka.  Untuk anak-anak peringkat sekolah rendah, ibu bapa bolehlah mengajar mereka dan apabila anak-anak mula meningkat ke sekolah menengah secara beransur-ansur ibu bapa biarkan anak-anak berdikari.  Dengan cara ini tabiat belajar dalam masa yang ditetapkan menjadi kebiasaan dan mudah untuk kita terus mendorong minat serta kemahuan mereka.

Sabar dalam mengajar

Mengajar anak sendiri memerlukan kesabaran yang tinggi.  Ramai ibu bapa yang mudah hilang sabar lalu marah-marah dan meninggikan suara apabila mengajar anak-anak dalam pelajaran mereka.  Mereka geram kerana anak-anak mungkin tidak memberikan perhatian, lambat faham, cepat lupa dan sebagainya.  Perlu diingat, anak-anak bukan kita dan mereka tidak mungkin seperti kita.  Lagi dimarah lagi tertutup minda dan buntu fikiran mereka.  Mereka akan lebih takut untuk buat salah lalu tidak mahu mencuba.  Kalau mampu, ajarlah anak-anak strategi belajar, teknik mengingat, prinsip memori dan sebagainya.  Mudah-mudahkan pembelajaran mereka agar keyakinan diri mereka terbina sedikit demi sedikit. Ingat, kesabaran adalah kunci segalanya.

Selalu berbincang dengan guru kelas dan rapatkan diri dengan aktiviti PIBG serta sekolah

Kenali siapa guru anak-anak kita dan sering berbincang dengan guru tentang perkembangan mereka.  Dengan cara ini kita cepat tahu sama ada anak-anak beri tumpuan dalam kelasnya, siap kerja sekolahnya, masuk kelas pada waktunya dan sebagainya.  Apabila berpeluang tawarkan diri untuk melibatkan diri dalam PIBG dan aktiviti sekolah.  Dengan cara ini guru-guru tahu siapa kita dan mereka juga akan berikan perhatian yang lebih baik kepada anak-anak kita.  Malah kerapkali anak-anak kita, tanpa diminta, diberikan peluang untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sekolah dan ini akan meningkatkan ‘self-esteem’ mereka.  Anak-anak juga akan lebih menjaga disiplin serta pelajaran mereka kerana mereka sedar bahawa perkembangan diri mereka cepat dimaklumkan oleh guru kepada ibu bapa.  Komitmen anak-anak secara langsung akan meningkat terhadap pelajaran mereka.

Ikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah

Jangan tunggu hingga anak bawa pulang Buku Laporan Kemajuan baru mahu bertindak.  Kerana ketika itu sudah agak terlambat untuk bertindak.  Ibu bapa hendaklah mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak setiap masa.  Pantau ujian bulanan mereka dan kenalpasti kelemahan yang ada.  Cari penyelesaian untuk mengatasi kelemahan tersebut seawal mungkin.  Kalau anak-anak perlu dituisyenkan maka hantarlah mereka ke kelas-kelas tuisyen untuk subjek-subjek tertentu yang mereka perlu dibantu.  Kalau anak-anak lemah dari segi sahsiah maka masukkanlah mereka ke program-program berbentuk motivasi.  Lambat bertindak akan mengakibatkan anak-anak tertinggal dalam pelajaran mereka.  Anak-anak mula rasakan yang diri mereka tiada kebolehan dan masa depan.  Pemikiran yang salah sebegini akan membuatkan mereka hilang minat dan malas untuk berusaha.  Akhirnya, mereka fikir buat apa belajar kalau sudah tahu diri akan gagal.  Mereka mulalah terpengaruh dengan rakan-rakan yang negatif dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial.  

Kenali rakan-rakan anak dan ibu bapa mereka

Rakan-rakan adalah orang penting kepada anak-anak dan berpengaruh dalam menentukan identiti serta imej mereka.  Sekiranya mereka berkawan dengan orang yang rajin maka rajinlah mereka. Sekiranya mereka salah memilih kawan maka bermasalahlah nanti.  Sebagai ibu bapa prihatin hendaklah kita ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli sesuatu yang mungkin diluar kemampuan diri dan sebagainya.  Simpan nombor telefon kawan-kawan mereka dan rapatkan diri dengan ibu bapa mereka.  Apa salahnya sesekali diadakan perjumpaan antara ibu bapa agar semuanya dapat ambil berat akan perkembangan anak-anak.  Ia memudahkan kita menasihati bukan sahaja anak kita tetapi juga rakan-rakan mereka kelak.  Begitu juga dengan ibu bapa yang lain, mereka juga tidak akan segan silu untuk menegur dan menasihati anak kita.  Dengan cara ini anak kita dan rakan-rakannya tidak sewenang-wenangnya mengabaikan pelajaran hanya kerana utamakan pergaulan.

Sentiasa mengintai peluang yang boleh memajukan anak

Dalam kehidupan kita seharian terdapat pelbagai aktiviti, program, kursus serta peluang untuk memajukan anak-anak dalam pelajaran dan sahsiah mereka.  Ibu bapa cemerlang tidak kedekut dan sanggup mengeluarkan pelaburan untuk kebaikan anak-anak.  Kecemerlangan anak-anak dalam bidang yang tiada kaitan dalam pelajaran seperti aktiviti ko-kurikulum, sukan, persatuan dan sebagainya boleh menjadi perangsang untuk mereka cemerlang dalam bidang pelajaran. 
Disamping itu, program-program seperti kursus motivasi, kursus berkaitan dengan kemahiran belajar, kelas teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain boleh menjadi faktor yang meningkatkan lagi pelajaran mereka.  Ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah megikuti program Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan.  Ada diantara anak-anak mendapat lonjakan markah yang cukup ketara setelah mendapat bimbingan dan motivasi.

Jadikan budaya membaca sebagai suatu amalan

Masyarakat Malaysia terkenal sebagai masyarakat yang malas membaca lebih-lebih lagi apabila bahan bacaan tersebut berbentuk ilmiah.  Penyakit ini menular dari generasi ke generasi dan akhirnya lahirlah masyarakat yang tidak mantap ilmunya.  Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menanam budaya membaca bermula di rumah.  Adakan masa tertentu untuk membaca seisi keluarga.  Bawa anak-anak ke perpustakaan dan ke kedai-kedai buku.  Minat membaca bermula dari ibu bapa sendiri.  Kalau ibu bapa tidak memulakan tabiat membaca ini maka usah letakkan kesalahan malas belajar itu atas anak semata-mata.  Kita bertanggung jawab sepenuhnya dalam hal ini kerana ibu bapalah acuan yang membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak.

Memberikan kerjasama sepenuhnya kepada anak dan hormati waktu belajar mereka

Adalah tidak adil apabila anak yang bersekolah dan ada peperiksaan dipaksa belajar sedangkan anggota keluarga yang lain melakukan aktiviti yang boleh mengganggu tumpuan dan emosi mereka.  Misalnya, anak-anak yang bersekolah disuruh masuk bilik dan belajar sedangkan ibu bapa asyik menonton televisyen, abang berinternet, kakak bergayut di telefon, adik kecil bising dengan mainannya.  Semua ini memberikan tekanan yang bukan sedikit kepada anak yang mahu belajar.  Mereka tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari keluarga.  Mulai hari ini adakan peraturan iaitu bila tiba waktu belajar maka tiada aktiviti lain selain daripada aktiviti keilmuan.  Ahli keluarga yang lain boleh gunakan waktu itu untuk membaca akhbar, majalah, buku dan sebagainya.  Kalau berinternet sekalipun, pastikan masa itu digunakan untuk mencari maklumat bukan untuk berhibur.  Adik kecil boleh gunakan masa tersebut untuk melukis dan mewarna.  Malah, ibu bapa boleh gunakan masa belajar ini untuk mengajar anak-anak jika mampu.  Dengan cara begini, anak-anak dapat rasakan bahawa semua keluarga mahu lihat mereka berjaya dan bersemangat untuk membuktikannya. 

Meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak

Tidak ada ibu bapa yang tidak mahu lihat anak mereka berjaya dan begitu juga kita.  Namun begitu, ibu bapa mestilah realistik dalam menentukan pencapaian anak-anak mereka.  Sekiranya harapan yang diletakkan itu terlalu tinggi hingga anak-anak rasakan mustahil untuk mencapainya maka mereka mula rasa tertekan.  Anak-anak mudah rasakan diri mereka tidak berguna apabila gagal mencapai impian ibu bapa lalu kecewa dan murung.  Keadaan bertambah parah apabila ibu bapa mula marah-marah setiap kali anak-anak gagal mendapat markah yang baik.  Kata-kata kesat dan sindiran-sindiran tajam mula dilemparkan kepada anak-anak seperti “sia-sia sahaja hantar tuisyen”, “hidup hanya menghabiskan beras sahaja .. “, “Itulah memang dasar anak pemalas!” dan macam-macam lagi.  Cuba renungkan sejenak, apa baiknya kita luahkan dan puaskan perasaan kita dengan cara begitu.  Adakah ia menjadikan anak kita lebih bijak?  Pastinya tidak.  Adakah ia akan mengubah cara anak kita belajar? Mungkin juga tidak.  Ia hanya akan melukakan lagi hati anak dan mencalar ‘self esteem’ mereka.  Oleh itu, bincanglah dengan anak-anak tentang sasaran dan matlamat mereka dan bantu mereka untuk capai matlamat tersebut.  Inilah yang terbaik sebab anak-anak merasakan sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa.

Tidak merendah-rendahkan kebolehan anak di hadapan orang lain

Manusia mudah percaya apa yang dikatakan tentangnya lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu mempunyai pengaruh atas dirinya.  Begitulah juga anak kita.  Kerap kali apabila ibu bapa bawa anak-anak mereka berjumpa saya tanpa berselindung lagi mereka terus menceritakan keburukan-keburukan dan kelemahan-kelemahan anak kepada saya di depan anak-anak mereka.  Misalnya, “anak saya ni malaslah”. “Anak saya ni kuat tengok TV dan tak boleh diharap, berkali-kali ditegur tapi macam tu juga”, dan macam-macam lagi.  Wajah anak tiba-tiba berubah.  Mereka mungkin ketika itu rasa malu, rendah diri, kecewa, marah dan sebagainya.  Lebih buruk lagi mereka percaya itulah mereka dan tiada apa yang boleh dibuat sebab mereka telah dilahirkan begitu.  Akibatnya, anak tidak akan bersungguh-sungguh berusaha dan mereka akan kekalkan sikap tersebut dan mengulangi tingkahlaku negatif kerana mereka percaya itulah diri mereka yang sebenar. 
Kesilapan sebegini dilakukan oleh ramai ibu bapa tanpa mereka sedari.  Jadi mulai hari ini, kalau mahu bincangkan masalah anak maka bincanglah tanpa kehadiran mereka.  Di depan mereka cuba suburkan kebaikan yang ada, fokus lebih kepada kelebihan mereka.  Sekiranya ada kelemahan dan keburukan yang mahu ditegur maka tegurlah secara berhikmah dan nasihatlah secara baik.  Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal peribadi mereka, tegurlah secara individu tanpa kehadiran sesiapa termasuk adik beradik yang lain.  Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal umum seperti masalah bilik tidak kemas, buang sampah merata-rata dan sebagainya maka tegurlah secara terang-terangan untuk memberi pengajaran kepada yang lain.  Tegur perbuatannya bukan orangnya.

Tidak membanding-bandingkan kebolehan 

Ibu bapa perlu ingat bahawa kemampuan anak-anak adalah berbeza.  Tidak semua boleh berjaya dalam bidang akademik.  Ada yang dianugerahkan oleh Allah dengan kebolehan dan kemahiran lain seperti petah berpidato, pandai melukis, bijak bermain alat muzik dan mencipta lagu, mahir bertukang, dan sebagainya.  Oleh itu kenapa mesti dibandingkan pencapaian mereka?  Kalau adik dibandingkan dengan kakak dan abang, mereka rasakan seolah-olah ibu bapa tidak cukup sayangkan mereka.  Kalau perbandingan dibuat dengan rakan-rakan, mereka akan rasa rendah diri pula.  Oleh itu, membandingkan anak tidak membantu kecemerlangan mereka.  Adakah ini bermakna kita tidak boleh ambil kejayaan orang lain untuk diceritakan kepada anak-anak?  Tidak.. bukan begitu yang dimaksudkan.  Ibu bapa, lazimnya, menyebut kelebihan dan kejayaan orang lain kepada anak-anak hanya apabila marah, geram dan kecewa dengan tindakan dan tingkahlaku mereka.  Lain pada masa itu, kita lupa dan tidak ambil kisah.  Sebab itulah anak-anak menolak cara ibu bapa ini.  Oleh itu, apabila menegur kesilapan dan kegagalan anak, jangan sama sekali dibandingkan dengan sesiapa.  Cukup sekadar menegur dan menasihati perbuatan dan tingkah laku mereka.  Waktu lain, ketika tiada ketegangan emosi antara kita dan anak maka berceritalah tentang kejayaan orang lain serta bagaimana mereka capai kejayaan tersebut untuk anak jadikan panduan dan tauladan.  Saat sebegini adalah lebih mudah untuk anak menerimanya kerana mereka lebih terbuka.

Ganjari bukan sahaja hasilnya tapi juga usahanya

Manusia hanya berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan hasilnya.  Sekiranya ibu bapa faham erti kata-kata ini maka mereka tidak akan merasa kecewa, putus asa dan marah apabila anak-anak tidak mendapat 5A dalam UPSR atau 8A dalam PMR.  Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang apa keputusan yang bakal diperolehi sebab itu urusan tuhan.  Yang perlu dibimbangkan adalah usaha anak.  Dorong anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga keadaan.  Nyatakan dengan jelas kepada mereka bahawa bagi kita keputusan bukan perkara utama tetapi yang penting kita mahu lihat mereka telah berusaha bersungguh-sungguh.  Sebagai bukti, kita berikan ganjaran terhadap usahanya dan bukan sekadar hasilnya.  Misalnya, kita berjanji untuk berikan ganjaran tertentu sekiranya anak dapat 8A dalam PMR mereka.  Namun begitu, sekiranya kita lihat anak memang telah berusaha tetapi sekadar dapat 4A 4B sahaja maka berilah juga ganjaran dalam bentuk atau amaun yang berbeza.  Sebagai contoh, kita berjanji dengan anak kalau dia dapat 8A dalam PMRnya maka setiap A kita berikan RM50 ringgit.  Sebaliknya kalau dia tidak dapat 8A, kita tetap berikan ganjaran tetapi kali ini setiap A Cuma dapat RM30 sahaja.

Sentiasa doakan kejayaan anak

Doakanlah kejayaan anak-anak sepanjang masa dan bukan hanya diwaktu musim peperiksaan sahaja.  Doa ibu bapa, terutamanya doa ibu biasanya makbul.  Elakkan dari mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak kerana kata-kata kita itu merupakan satu doa.  Doakan anak kita setiap kali kita teringatkan mereka.  Misalnya ketika kita sibuk dipejabat tiba-tiba terdetik di hati apa agaknya anak sedang buat di rumah?  Ketika itu terus berdoa dalam hati dan insyaAllah sekiranya kerap dilakukan begitu akan ada yang makbul nanti.  Saya masih teringat waktu kecil dahulu bagaimana saya terdengar doa ibu.  Saya datang dari keluarga yang miskin dan  dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.  Ibu saya biasanya turun awal pagi untuk mencari nafkah dan pulang lewat petang dan ada ketikanya malam.  Satu ketika, sedang saya tidur-tidur ayam terdengar ibu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku.. aku mempunyai tiga anak lelaki, kalau tidak ketiga-tiganya berjaya maka berilah aku salah seorang dari mereka yang akan jadi penyelamat keluarga ini.”  Mendengar doa ibu ini hati saya menyambut, “Ya Allah ya tuhanku.. biarlah salah seorang dari penyelamat keluarga itu adalah aku”.  Kemana sahaja saya pergi dan apa sahaja saya lakukan selepas itu saya pasti terkenang doa ibu itu.  Ia menjadi pendorong dan juga benteng diri yang cukup berkesan dalam hidup saya.  Oleh itu, apabila berdoa untuk anak maka doalah dengan suara yang didengari dan difahami oleh mereka.  Seelok-eloknya ketika berjemaah bersama agar anak-anak aminkan doa kita untuk mereka itu.

Jaga Sumber Makanan

Kita adalah apa yang kita makan.  Oleh itu berikanlah makanan yang HALAL, lazat, berzat dan bersih untuk anak-anak kita.  Makanan akan menjadi darah daging mereka.  Sekiranya anak-anak diberi makan daripada sumber yang haram maka jangan salahkan mereka apabila mereka menjadi anak yang bermasalah, gelap hatinya, degil, malas dan sebagainya.  Ibu bapa cemerlang tidak akan mengambil mudah perkara sepenting ini.  Mulai hari semaklah sumber pendapatan kita dan pastikan ia diredhai dan diberkati Allah s.w.t.

Tidak berputus asa dalam mengharap rahmat dan pertolongan Allah.

Anak-anak adalah amanah Allah dan ujian untuk kita.  Oleh itu tidak perlu kita berputus asa apabila anak-anak gagal setelah kita melakukan sesuatu usaha untuk melihat mereka cemerlang.  Kalau satu usaha tidak berjaya carilah usaha yang lain.  Kalau satu pendekatan tidak berkesan maka ubahlah kepada pendekatan yang lain.  Tidak ada satu cara yang tepat dalam membantu anak-anak ke arah kecemerlangan.  Lain anak lain kemahuannya, lain penerimaanya dan lain kebolehannya.  Oleh itu pelbagaikan pendekatan keibubapaan sehingga kita dapat kenalpasti cara paling berkesan untuk setiap anak-anak kita.  Kalau rasa bantuan orang lain diperlukan maka jangan pula kedekut untuk keluarkan sedikit pelaburan memasukkan anak-anak ke program-program motivasi, khemah ibadah, kaunseling dan sebagainya.  Selagi hayat dikandung badan jangan sesekali berputus asa dalam mengharap rahmat Allah.  Apa juga yang datang ada hikmah dan kebaikan yang tersendiri serta ujian dari Allah untuk tingkatkan keimanan kita sebagai ibu bapa.
Perlu diingat, anak-anak perlu seimbang perkembangannya dari segi akademik, emosi, siasah dan kerohanian.  Pincang salah satu maka pincanglah masa depannya.  Dalam kita berhabis-habisan memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik jangan pula kita lupa untuk memperuntukan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membangunkan emosi, sahsiah dan rohani mereka.  Kalau kita malu apabila anak-anak gagal dalam pelajaran maka kita patut lebih malu kalau anak-anak tidak solat, kurang adab, tidak menghormati orang lain dan sebagainya.  

     SEKIAN.



Hakcipta terpelihara  © Tahun 1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.
172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh
Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA
Tel:  05 - 3134622, 3136601
Fax : 05 - 3133409
e-mel :
webmaster@maptraining.com.my

6 December 2011

Description: PostTip UPSR: Calon perlu tenang bagi mudahkan menjawab soalan
Oleh Cikgu Faiz

upen@bharian.com.my
2010/09/12
Bahasa Melayu Penulisan

BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea bernas ketika menulis karangan.


Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A
Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh tidaklah begitu susah kerana calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:

Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu "tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar memulakan ayat dengan subjek (watak).

Langkah kedua

Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam gambar dan tuliskan kata kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan seberapa banyak kata kerja yang berkaitan.

Langkah ketiga

Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan subjek (watak). Selepas subjek, tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).

Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) di dalam dewan sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) Jawapan contoh: Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika menyertai pertandingan lukisan sempena Hari Kebangsaan.

Langkah keempat

Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.

Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat.

Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa maksud yang berbeza. Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan.

Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang dibina bermula dengan huruf besar. Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas.

Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang yang sama untuk ayat seterusnya. Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat.

Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja. Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. Jika tulisan kecil, calon dinasihatkan agar selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur.

BAHAGIAN B

Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi menghasilkan karangan yang baik.

Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK (Formula Menulis Karangan), iaitu kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.

Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat, manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat.

Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas.

Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.

Langkah pertama - Pilih soalan

Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu sebelum memilih soalan yang hendak dijawab. Pilih soalan yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar mencari isinya.

Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan, format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.

Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah "Ceritakan tindakan". Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan", manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.

Langkah kedua - Merangka karangan

Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".

Langkah ketiga - Menulis karangan

Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu. Contohnya:

1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.

Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).

Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup seperti dalam bentuk rumusan, nilai, pantun, penegasan, peribahasa, kata hikmah dan pendirian.

Langkah keempat - Semak karangan

Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C.

BAHAGIAN C

Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa untuk menjawab soalan bahagian ini.

Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran yang terkandung dalam petikan itu.

Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan dengan nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "Abang mengucapkan terima kasih".

Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, empat langkah dicadangkan iaitu:

Langkah pertama

Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. Contohnya: Zaidi selalu mengulang kaji pelajaran pada waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.

Langkah kedua

Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. Contohnya:

a) Pengajaran - Rajin
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran
c) Mengapa - lulus periksa

Langkah ketiga

Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina lebih menarik.

Langkah keempat

Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.

Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, calon perlu bijak menguruskannya. Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A ialah tiga minit untuk memahami gambar, lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima minit lagi untuk semakan).

Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan Bahagian A, B dan C.





Bahasa Melayu Pemahaman

BAGI membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik. Seperti yang diketahui, kertas 1 mempunyai dua bahagian iaitu tatabahasa dan pemahaman. Kedua-dua bahagian ini mempunyai teknik menjawab yang berbeza.


1.1 Tatabahasa


Pastikan anda sudah menguasai kesemua bahagian tatabahasa. Ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami terlebih dahulu sebelum anda menjawab soalan. Di bawah ini merupakan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh calon sewaktu hendak menjawab soalan bahagian tatabahasa.


1.1.1 Faham

Calon perlulah memahami kesemua pilihan jawapan yang disediakan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan yang diberikan. Calon hanya cuba mengagak maksud jawapan berkenaan. Kebiasaannya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan. Catatlah secara ringkas maksud pilihan jawapan berkenaan. Contoh:

A memberi menyampaikan sesuatu

B mengirim menghantar menerusi sesuatu
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu

1.1.2 Baca


Bacalah ayat yang disediakan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Kadang-kadang ada pilihan jawapan yang seolah-olah boleh dipilih sebagai jawapan. Pilihan jawapan yang sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap utama.

Contoh:
Ayah ._____ sepucuk telegram dari kampung.

1.1.3 Kesan


Anda perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Bulat atau gariskan klu berkenaan. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan anda memilih jawapan yang tepat.


(Bulatkan perkataan ‘dari’ sebagai klu jawapan yang menunjukkan ayah menerima)


Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.


1.1.4 Pilih


Peringkat ini adalah peringkat paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Pengganggu yang diberikan sudah pasti akan mengelirukan adik-adik. Oleh itu, fahamilah betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.


Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.


A memberi menyampaikan sesuatu

B mengirim menghantar menerusi sesuatu <-- Pengganggu yang hampir tepat
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu <-- Jawapan yang paling tepat

Calon-calon, pastikan:


* 1 soalan hanya ada 1 - 1 1/2 minit sahaja.

* Jangan membuang masa dengan cuba menjawab soalan yang susah.
* Jawab soalan Bahagian Tatabahasa (Soalan 1 hingga Soalan 30) terlebih
   dahulu.
* Peruntukan masa antara 15 hingga 20 minit untuk Bahagian Tatabahasa.
* Jawab soalan yang lebih mudah dahulu.
* Segera jawab soalan Bahagian Petikan.
* Peruntukan masa 10 minit untuk setiap petikan.
* Baki masa untuk tujuan menyemak semula jawapan.

1.2 Pemahaman


Calon-calon hanya perlu menjawab 10 soalan sahaja dalam bahagian pemahaman. Namun begitu setiap soalan amat berkait rapat dengan petikan yang disediakan. Untuk menjawab soalan pemahaman, calon perlulah memperbanyakkan latihan menjawab kerana bahagian ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam hal memahami petikan. Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan sewaktu hendak menjawab soalan petikan ialah:


1.2.1 Baca dan faham


Calon-calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dahulu. Selepas itu, barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan sesekali menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dahulu.


1.2.2 Cari pembayang jawapan


Kebiasaannya klu atau pembayang jawapan berada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut. Pastikan klu berkenaan berkait rapat dengan soalan.


…Lawatan tersebut diadakan adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid proses membuat kerepek di kilang.


1.2.3 Penyesuaian


Sesuaikan pembayang yang anda garis dengan pilihan jawapan yang diberikan. Teliti dan fahami betul-betul sebelum memilih jawapan.


Apakah tujuan utama program lawatan diadakan? (soalan)


… bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid proses membuat kerepek... (pembayang jawapan)


1.2.4 Memilih


Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang yang digaris, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih pilihan jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.


Berdasarkan catatan di atas, apakah tujuan utama program lawatan diadakan?


A Menyedarkan murid-murid betapa susahnya mencari rezeki.

B Meraikan sambutan dan hari terbuka yang diadakan oleh pihak kilang.
C Menggalakkan murid-murid agar menyertai industri membuat kerepek.
D Menambahkan pengetahuan murid berkenaan proses membuat kerepek.

Langkah-langkah diatas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu, beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon-calon tidak melakukan kesilapan. Antara kelemahan-kelemahan tersebut ialah:


* Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.

* Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.
* Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.
* Membuang masa dengan soalan yang susah.
* Keliru dengan pengganggu yang hampir sama ejaannya atau maknanya.
* Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.
* Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.
* Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!


Kira jumlah tanda hitam adalah cukup 40. Jika kurang, ini bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dengan dua jawapan. Selamat menghadapi UPSR 2010. Semoga berjaya!



 
Apakah UPSR?


Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR, dahulunya Ujian Penilaian Sekolah Rendah) merupakan program pengujian yang ditadbir secara berpusat untuk menilai pencapaian kognitif pelajar di akhir sekolah rendah di Malaysia dan diambil oleh pelajar-pelajar di akhir Tahun Enam pendidikan rendah.
Ia diperkenalkan pada tahun 1987 bagi menggantikan Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Pada tahun 1995, format Matematik diubah dengan memperkenalkan soalan subjektif. Pada tahun 2001, penilaian termasuk kerja sekolah calon.
Objektifnya ialah untuk menilai pencapaian pelajar sekolah rendah dalam kemahiran asas mereka di dalam Sains dan Matematik dan juga bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Ia berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

Apakah mata-mata pelajaran yang diuji?
Subjek Wajib
Subjek
Bahasa Dalam Peperiksaan
   Kertas 1
Kertas 2
Bahasa Melayu
     Bahasa Melayu (Malaysia)
    Objektif
 Penulisan
Bahasa Inggeris
     Bahasa Inggeris (English UK)
    Objektif
 Writing
Science
     Bahasa Inggeris dan Bahasa  
     Melayu
    Objektif
 Subjektif
Mathematics
     Bahasa Inggeris dan Bahasa 
     Melayu
    Objektif
 Subjektif

Bagi Sekolah Kebangsaan ujian-ujiannya adalah:
  1. Bahasa Melayu (Pemahaman)
  2. Bahasa Melayu (Penulisan)
  3. Bahasa Inggeris
  4. Matematik
  5. Sains
Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan ujian-ujiannya adalah:
  1. Bahasa Melayu (Pemahaman)
  2. Bahasa Melayu (Penulisan)
  3. Bahasa Inggeris
  4. Matematik
  5. Bahasa Cina/Bahasa Tamil (Pemahaman)
  6. Bahasa Cina/ Bahasa Tamil ( Penulisan)
  7. Sains

Mungkin dimansuh
Pada 20 Jun 2010, Kementerian Pelajaran Malaysia yang diwakili oleh menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya. PMR dan UPSR mungkin dijadikan sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja, dan bukannya sebagai peperiksaan awam
Pandangan masyarakat
Anuar Ahmad (pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) )
Bagi saya bukan mansuh tetapi rombak. Ini kerana memansuhkan sesuatu sistem penilaian akan mengakibatkan kita kehilangan satu aspek penting dalam kurikulum. Dalam setiap kurikulum mesti ada pengajaran dan pembelajaran (P&P), serta penilaian. Kalau tidak ada penilaian akan mencacatkan subjek kurikulum. Dari sudut teori pendidikan semua mengakui bahawa dalam diri manusia ada banyak potensi. Cumanya sebab UPSR terlalu berorientasikan pencapaian akademik, maka potensi-potensi lain walaupun dikembangkan dalam sistem pendidikan rendah tetapi tidak diutamakan. Misalnya dalam bidang sukan, kebudayaan, perbahasan, bahasa komunikasi, interpersonal. Walaupun semua itu penting tetapi oleh kerana sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan maka keperluan itu dikesampingkan.
Saya percaya peperiksaan perlu dirombak supaya semua elemen potensi manusia ini digabungkan semula. Apabila Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dilaksanakan pada 1983, memang sudah mengambil kira semua perkara itu. Cumanya apabila dijadikan dalam bentuk penilaian, penilaian itu telah menjadikan struktur pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan.  sekolah rendah, penilaian mesti dilakukan secara berterusan. Falsafah pendidikan sekolah rendah adalah pelajar menguasai perkara asas. Tidak boleh mana-mana pelajar ditinggalkan walaupun dikategorikan sebagai lemah, atau pendidikan khas iaitu menguasai kemahiran Menulis, Membaca dan Mengira. Oleh itu mungkin pada peringkat paling awal iaitu Tahun 3, guru perlu menilai dan memastikan membuat laporan pencapaian pelajar sama ada telah menguasai perkara asas atau tidak. Untuk Tahun 5 dan 6 kita kena buat intervensi. Jika pelajar tidak boleh menulis, membaca dan mengira dengan baik maka guru mesti ada intervensi untuk menyelesaikan masalah pendidikan asas.
Mohd. Ali Hassan ( Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN) )
 Mungkin sudah terlalu lama sistem pendidikan kita terlalu menekan kepada peperiksaan semata-mata. Kita sebenarnya perlu menghasilkan pelajar yang tidak bergantung kepada peperiksaan tetapi belajar untuk sepanjang hayat. Jelas bahawa perubahan yang mahu dilakukan adalah betul-betul menyeluruh selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan. Ini termasuklah dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan saya tambah satu lagi iaitu semangat sosialisasi yang baik.
Ini membantu melahirkan pelajar yang mempunyai kecerdasan fizikal (PQ), emosi, (EQ), rohani (SQ), intelek (IQ) dan saya tambah FQ atau kecerdasan kekeluargaan. Semua ini penting dalam keadaan masyarakat majmuk seperti Malaysia dan lebih penting kita tidak mahu anak-anak kita hanya berjaya dalam akademik semata-mata. Ini juga selaras dengan dasar yang mahu dibawa oleh Kementerian Pendidikan iaitu satu pelajar satu sukan. Ini bagus kerana apabila pelajar mempunyai badan yang sihat otak mereka juga sihat. Ini membantu pelajar apabila meningkat dewasa tidak hanya bergantung kepada kerja-kerja yang bersifat akademik dan fakta semata-mata.
Jika kita lihat sekarang ini para pelajar sebenarnya terlalu tertekan dengan peperiksaan. Selain itu pelajar juga dilihat agak ketinggalan dalam bidang bahasa. Jika kita bandingkan dengan penguasaan bahasa pelajar di Singapura misalnya pelajar kita ketinggalan dari segi komunikasi mahupun dalam menyampaikan buah fikiran.
 Bagi saya adalah penting para pelajar terutama di peringkat rendah mahupun di sekolah menengah benar-benar memahami dan menguasai kaedah 3M iaitu membaca, mengira dan menulis. Ini kerana perkara ini adalah asas dalam pembelajaran. Tanpa mereka menguasai 3M, bagaimana mereka hendak meneruskan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi lagi selain meningkatkan tahap mentaliti dan pemikiran mereka.
Oleh itu kita perlu memperhebatkan lagi proses 3M ini untuk mereka memajukan tahap pemikiran mereka dan kemudian dapat terus membudayakan sifat membaca kerana ia mengasah minat mereka sama ada dalam bidang sains, teknologi, pengiraan, sastera dan sebagainya. Sekarang ini selepas sahaja habis peperiksaan tidak ada budaya membaca kerana mereka belajar hanya untuk peperiksaan dan budaya inilah yang akan meningkatkan pemahaman dan kecenderungan mereka. Kalau kita lihat di negara-negara maju budaya membaca adalah asas yang sangat penting.