Tips
Bagaimana Meningkatkan Pencapaian Akademik Anak?
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Semua ibu bapa
mahukan anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka. Orang biasanya tidak
tanya berapa duit kita tetapi mereka akan tanya apa keputusan yang diperolehi
anak kita dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR dan SPM. Setiap
kali keputusan peperiksaan diumumkan ia menjadi tajuk perbualan dikalangan
jiran tetangga, sanak saudara dan rakan sejawat. Tekanan inilah yang
menyebabkan ramai ibu bapa cuba melakukan pelbagai usaha dalam membantu
anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Yang mampu, sanggup
berbelanja besar menghantar anak-anak ke kelas tuisyen yang dikelolakan oleh
guru-guru pakar. Tekanan yang diterima dari masyarakat ini membuatkan
ibu bapa ada ketikanya ‘memaksa’ anak-anak supaya cemerlang.
Sebelum kita menekan
anak-anak cuba semak diri kita dahulu. Adakah kita telah memainkan
peranan kita sebaiknya dalam membantu mereka merealisasikan kecemerlangan
tersebut?
Berikut adalah
perkara yang perlu diteliti dan dipraktikkan:
Menyediakan
keperluan asas seperti buku, peralatan, tempat belajar dll.
Kelengkapan yang
cukup adalah penting dalam memastikan anak-anak dapat belajar dengan
selesa. Misalnya, pensil patah adalah suatu perkara yang remeh bagi
kita tetapi ia besar bagi sesetengah anak terutamanya yang bersekolah
rendah. Tiada peralatan lengkap seperti alat geometri boleh membuatkan
seorang anak malas untuk ke kelas dan hilang tumpuan serta minat
belajar. Buku yang tidak mencukupi boleh membuatkan anak memberi alasan
untuk tidak belajar dan sesetengah mereka terpaksa berhadapan dengan
kemarahan guru. Pakaian atau beg koyak boleh membuatkan anak malu
dengan rakan-rakan dan tidak gembira untuk ke sekolah. Oleh itu sebagai
ibu bapa, tengok-tengoklah keperluan asas untuk anak ke sekolah ini sentiasa,
bukan sekadar diawal tahun sahaja.
Sediakan satu bilik
atau satu ruangan untuk anak-anak belajar di rumah. Pastikan ruangan
ini selesa, tenang, nyaman dan jauh dari gangguan. Pastikan juga cahaya
mencukupi dan ubah suai tempat belajar ini dari masa ke semasa bagi mengekalkan
motivasi diri anak dan mood belajar mereka.
Tidak ragu-ragu
untuk disiplinkan anak
Pelajar cemerlang
adalah pelajar yang berdisiplin. Sebagai ibu bapa kita mestilah mampu
mendisiplinkan anak-anak dirumah dari segi kekemasan bilik, pengurusan masa,
pengurusan diri serta tingkah laku mereka. Galakkan anak-anak mengemas
biliknya sendiri meskipun ada pembantu rumah yang boleh melakukannya.
Pupuk sifat bertanggung jawab dan berdikari dalam diri anak. Duduk
dengan anak dan bicangkan jadual harian mereka. Terangkan pada
anak-anak betapa pentingnya mempunyai masa yang seimbang diantara belajar,
beribadah, riadah, sosial, rehat, bersama keluarga dan sebagainya.
Jadual yang disediakan ini mestilah fleksibel sebab anak-anak bukannya robot yang
boleh menepati waktu setiap hari. Anak cemerlang adalah mereka yang ada
peraturan sama ada di rumah atau di luar. Adalah menjadi tanggung jawab
kita sebagai ibu bapa untuk mendisiplinkan mereka.
Mengawasi dan
menemani anak
Ibu bapa boleh
meningkatkan komitmen belajar anak dan merangsang minat mereka dengan
menemani anak ketika waktu belajar mereka. Untuk anak-anak peringkat
sekolah rendah, ibu bapa bolehlah mengajar mereka dan apabila anak-anak mula
meningkat ke sekolah menengah secara beransur-ansur ibu bapa biarkan
anak-anak berdikari. Dengan cara ini tabiat belajar dalam masa yang
ditetapkan menjadi kebiasaan dan mudah untuk kita terus mendorong minat serta
kemahuan mereka.
Sabar dalam
mengajar
Mengajar anak
sendiri memerlukan kesabaran yang tinggi. Ramai ibu bapa yang mudah
hilang sabar lalu marah-marah dan meninggikan suara apabila mengajar
anak-anak dalam pelajaran mereka. Mereka geram kerana anak-anak mungkin
tidak memberikan perhatian, lambat faham, cepat lupa dan sebagainya.
Perlu diingat, anak-anak bukan kita dan mereka tidak mungkin seperti
kita. Lagi dimarah lagi tertutup minda dan buntu fikiran mereka.
Mereka akan lebih takut untuk buat salah lalu tidak mahu mencuba. Kalau
mampu, ajarlah anak-anak strategi belajar, teknik mengingat, prinsip memori
dan sebagainya. Mudah-mudahkan pembelajaran mereka agar keyakinan diri
mereka terbina sedikit demi sedikit. Ingat, kesabaran adalah kunci segalanya.
Selalu berbincang
dengan guru kelas dan rapatkan diri dengan aktiviti PIBG serta sekolah
Kenali siapa guru
anak-anak kita dan sering berbincang dengan guru tentang perkembangan
mereka. Dengan cara ini kita cepat tahu sama ada anak-anak beri tumpuan
dalam kelasnya, siap kerja sekolahnya, masuk kelas pada waktunya dan
sebagainya. Apabila berpeluang tawarkan diri untuk melibatkan diri
dalam PIBG dan aktiviti sekolah. Dengan cara ini guru-guru tahu siapa
kita dan mereka juga akan berikan perhatian yang lebih baik kepada anak-anak
kita. Malah kerapkali anak-anak kita, tanpa diminta, diberikan peluang
untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti sekolah dan ini akan meningkatkan
‘self-esteem’ mereka. Anak-anak juga akan lebih menjaga disiplin serta
pelajaran mereka kerana mereka sedar bahawa perkembangan diri mereka cepat
dimaklumkan oleh guru kepada ibu bapa. Komitmen anak-anak secara
langsung akan meningkat terhadap pelajaran mereka.
Ikuti perkembangan
dan kemajuan anak di sekolah
Jangan tunggu
hingga anak bawa pulang Buku Laporan Kemajuan baru mahu bertindak.
Kerana ketika itu sudah agak terlambat untuk bertindak. Ibu bapa
hendaklah mengikuti perkembangan dan kemajuan anak-anak setiap masa.
Pantau ujian bulanan mereka dan kenalpasti kelemahan yang ada. Cari
penyelesaian untuk mengatasi kelemahan tersebut seawal mungkin. Kalau
anak-anak perlu dituisyenkan maka hantarlah mereka ke kelas-kelas tuisyen
untuk subjek-subjek tertentu yang mereka perlu dibantu. Kalau anak-anak
lemah dari segi sahsiah maka masukkanlah mereka ke program-program berbentuk
motivasi. Lambat bertindak akan mengakibatkan anak-anak tertinggal
dalam pelajaran mereka. Anak-anak mula rasakan yang diri mereka tiada
kebolehan dan masa depan. Pemikiran yang salah sebegini akan membuatkan
mereka hilang minat dan malas untuk berusaha. Akhirnya, mereka fikir
buat apa belajar kalau sudah tahu diri akan gagal. Mereka mulalah
terpengaruh dengan rakan-rakan yang negatif dan terlibat dengan pelbagai
gejala sosial.
Kenali rakan-rakan
anak dan ibu bapa mereka
Rakan-rakan adalah
orang penting kepada anak-anak dan berpengaruh dalam menentukan identiti
serta imej mereka. Sekiranya mereka berkawan dengan orang yang rajin
maka rajinlah mereka. Sekiranya mereka salah memilih kawan maka bermasalahlah
nanti. Sebagai ibu bapa prihatin hendaklah kita ambil tahu dengan siapa
mereka berkawan, kemana mereka pergi, dari mana mereka dapatkan wang untuk
membeli sesuatu yang mungkin diluar kemampuan diri dan sebagainya.
Simpan nombor telefon kawan-kawan mereka dan rapatkan diri dengan ibu bapa
mereka. Apa salahnya sesekali diadakan perjumpaan antara ibu bapa agar semuanya
dapat ambil berat akan perkembangan anak-anak. Ia memudahkan kita
menasihati bukan sahaja anak kita tetapi juga rakan-rakan mereka kelak.
Begitu juga dengan ibu bapa yang lain, mereka juga tidak akan segan silu
untuk menegur dan menasihati anak kita. Dengan cara ini anak kita dan
rakan-rakannya tidak sewenang-wenangnya mengabaikan pelajaran hanya kerana
utamakan pergaulan.
Sentiasa mengintai
peluang yang boleh memajukan anak
Dalam kehidupan
kita seharian terdapat pelbagai aktiviti, program, kursus serta peluang untuk
memajukan anak-anak dalam pelajaran dan sahsiah mereka. Ibu bapa
cemerlang tidak kedekut dan sanggup mengeluarkan pelaburan untuk kebaikan
anak-anak. Kecemerlangan anak-anak dalam bidang yang tiada kaitan dalam
pelajaran seperti aktiviti ko-kurikulum, sukan, persatuan dan sebagainya
boleh menjadi perangsang untuk mereka cemerlang dalam bidang pelajaran.
Disamping itu,
program-program seperti kursus motivasi, kursus berkaitan dengan kemahiran
belajar, kelas teknik menjawab peperiksaan dan lain-lain boleh menjadi faktor
yang meningkatkan lagi pelajaran mereka. Ini berdasarkan kepada
pengalaman mereka yang telah megikuti program Motivasi Alihan Pelajar yang
saya jalankan. Ada diantara anak-anak mendapat lonjakan markah yang
cukup ketara setelah mendapat bimbingan dan motivasi.
Jadikan budaya
membaca sebagai suatu amalan
Masyarakat Malaysia
terkenal sebagai masyarakat yang malas membaca lebih-lebih lagi apabila bahan
bacaan tersebut berbentuk ilmiah. Penyakit ini menular dari generasi ke
generasi dan akhirnya lahirlah masyarakat yang tidak mantap ilmunya.
Sebagai ibu bapa, kita hendaklah menanam budaya membaca bermula di
rumah. Adakan masa tertentu untuk membaca seisi keluarga. Bawa
anak-anak ke perpustakaan dan ke kedai-kedai buku. Minat membaca
bermula dari ibu bapa sendiri. Kalau ibu bapa tidak memulakan tabiat
membaca ini maka usah letakkan kesalahan malas belajar itu atas anak
semata-mata. Kita bertanggung jawab sepenuhnya dalam hal ini kerana ibu
bapalah acuan yang membentuk sikap dan tingkah laku anak-anak.
Memberikan
kerjasama sepenuhnya kepada anak dan hormati waktu belajar mereka
Adalah tidak adil
apabila anak yang bersekolah dan ada peperiksaan dipaksa belajar sedangkan
anggota keluarga yang lain melakukan aktiviti yang boleh mengganggu tumpuan
dan emosi mereka. Misalnya, anak-anak yang bersekolah disuruh masuk
bilik dan belajar sedangkan ibu bapa asyik menonton televisyen, abang
berinternet, kakak bergayut di telefon, adik kecil bising dengan mainannya.
Semua ini memberikan tekanan yang bukan sedikit kepada anak yang mahu
belajar. Mereka tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari
keluarga. Mulai hari ini adakan peraturan iaitu bila tiba waktu belajar
maka tiada aktiviti lain selain daripada aktiviti keilmuan. Ahli
keluarga yang lain boleh gunakan waktu itu untuk membaca akhbar, majalah,
buku dan sebagainya. Kalau berinternet sekalipun, pastikan masa itu
digunakan untuk mencari maklumat bukan untuk berhibur. Adik kecil boleh
gunakan masa tersebut untuk melukis dan mewarna. Malah, ibu bapa boleh
gunakan masa belajar ini untuk mengajar anak-anak jika mampu. Dengan
cara begini, anak-anak dapat rasakan bahawa semua keluarga mahu lihat mereka
berjaya dan bersemangat untuk membuktikannya.
Meletakkan harapan
berdasarkan kemampuan diri anak
Tidak ada ibu bapa
yang tidak mahu lihat anak mereka berjaya dan begitu juga kita. Namun
begitu, ibu bapa mestilah realistik dalam menentukan pencapaian anak-anak
mereka. Sekiranya harapan yang diletakkan itu terlalu tinggi hingga
anak-anak rasakan mustahil untuk mencapainya maka mereka mula rasa
tertekan. Anak-anak mudah rasakan diri mereka tidak berguna apabila
gagal mencapai impian ibu bapa lalu kecewa dan murung. Keadaan
bertambah parah apabila ibu bapa mula marah-marah setiap kali anak-anak gagal
mendapat markah yang baik. Kata-kata kesat dan sindiran-sindiran tajam
mula dilemparkan kepada anak-anak seperti “sia-sia sahaja hantar tuisyen”,
“hidup hanya menghabiskan beras sahaja .. “, “Itulah memang dasar anak pemalas!”
dan macam-macam lagi. Cuba renungkan sejenak, apa baiknya kita luahkan
dan puaskan perasaan kita dengan cara begitu. Adakah ia menjadikan anak
kita lebih bijak? Pastinya tidak. Adakah ia akan mengubah cara
anak kita belajar? Mungkin juga tidak. Ia hanya akan melukakan lagi
hati anak dan mencalar ‘self esteem’ mereka. Oleh itu, bincanglah
dengan anak-anak tentang sasaran dan matlamat mereka dan bantu mereka untuk
capai matlamat tersebut. Inilah yang terbaik sebab anak-anak merasakan
sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa.
Tidak
merendah-rendahkan kebolehan anak di hadapan orang lain
Manusia mudah
percaya apa yang dikatakan tentangnya lebih-lebih lagi kalau yang berkata itu
mempunyai pengaruh atas dirinya. Begitulah juga anak kita. Kerap
kali apabila ibu bapa bawa anak-anak mereka berjumpa saya tanpa berselindung
lagi mereka terus menceritakan keburukan-keburukan dan kelemahan-kelemahan
anak kepada saya di depan anak-anak mereka. Misalnya, “anak saya ni
malaslah”. “Anak saya ni kuat tengok TV dan tak boleh diharap, berkali-kali
ditegur tapi macam tu juga”, dan macam-macam lagi. Wajah anak tiba-tiba
berubah. Mereka mungkin ketika itu rasa malu, rendah diri, kecewa,
marah dan sebagainya. Lebih buruk lagi mereka percaya itulah mereka dan
tiada apa yang boleh dibuat sebab mereka telah dilahirkan begitu.
Akibatnya, anak tidak akan bersungguh-sungguh berusaha dan mereka akan
kekalkan sikap tersebut dan mengulangi tingkahlaku negatif kerana mereka
percaya itulah diri mereka yang sebenar.
Kesilapan sebegini
dilakukan oleh ramai ibu bapa tanpa mereka sedari. Jadi mulai hari ini,
kalau mahu bincangkan masalah anak maka bincanglah tanpa kehadiran
mereka. Di depan mereka cuba suburkan kebaikan yang ada, fokus lebih
kepada kelebihan mereka. Sekiranya ada kelemahan dan keburukan yang
mahu ditegur maka tegurlah secara berhikmah dan nasihatlah secara baik.
Kalau kesilapan anak-anak menyentuh soal peribadi mereka, tegurlah secara
individu tanpa kehadiran sesiapa termasuk adik beradik yang lain. Kalau
kesilapan anak-anak menyentuh soal umum seperti masalah bilik tidak kemas,
buang sampah merata-rata dan sebagainya maka tegurlah secara terang-terangan
untuk memberi pengajaran kepada yang lain. Tegur perbuatannya bukan orangnya.
Tidak
membanding-bandingkan kebolehan
Ibu bapa perlu
ingat bahawa kemampuan anak-anak adalah berbeza. Tidak semua boleh
berjaya dalam bidang akademik. Ada yang dianugerahkan oleh Allah dengan
kebolehan dan kemahiran lain seperti petah berpidato, pandai melukis, bijak
bermain alat muzik dan mencipta lagu, mahir bertukang, dan sebagainya.
Oleh itu kenapa mesti dibandingkan pencapaian mereka? Kalau adik
dibandingkan dengan kakak dan abang, mereka rasakan seolah-olah ibu bapa
tidak cukup sayangkan mereka. Kalau perbandingan dibuat dengan
rakan-rakan, mereka akan rasa rendah diri pula. Oleh itu, membandingkan
anak tidak membantu kecemerlangan mereka. Adakah ini bermakna kita
tidak boleh ambil kejayaan orang lain untuk diceritakan kepada anak-anak?
Tidak.. bukan begitu yang dimaksudkan. Ibu bapa, lazimnya, menyebut
kelebihan dan kejayaan orang lain kepada anak-anak hanya apabila marah, geram
dan kecewa dengan tindakan dan tingkahlaku mereka. Lain pada masa itu,
kita lupa dan tidak ambil kisah. Sebab itulah anak-anak menolak cara
ibu bapa ini. Oleh itu, apabila menegur kesilapan dan kegagalan anak,
jangan sama sekali dibandingkan dengan sesiapa. Cukup sekadar menegur
dan menasihati perbuatan dan tingkah laku mereka. Waktu lain, ketika
tiada ketegangan emosi antara kita dan anak maka berceritalah tentang
kejayaan orang lain serta bagaimana mereka capai kejayaan tersebut untuk anak
jadikan panduan dan tauladan. Saat sebegini adalah lebih mudah untuk
anak menerimanya kerana mereka lebih terbuka.
Ganjari bukan
sahaja hasilnya tapi juga usahanya
Manusia hanya
berusaha tetapi Allahlah yang akan menentukan hasilnya. Sekiranya ibu
bapa faham erti kata-kata ini maka mereka tidak akan merasa kecewa, putus asa
dan marah apabila anak-anak tidak mendapat 5A dalam UPSR atau 8A dalam
PMR. Ibu bapa tidak perlu bimbang tentang apa keputusan yang bakal
diperolehi sebab itu urusan tuhan. Yang perlu dibimbangkan adalah usaha
anak. Dorong anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam apa juga
keadaan. Nyatakan dengan jelas kepada mereka bahawa bagi kita keputusan
bukan perkara utama tetapi yang penting kita mahu lihat mereka telah berusaha
bersungguh-sungguh. Sebagai bukti, kita berikan ganjaran terhadap
usahanya dan bukan sekadar hasilnya. Misalnya, kita berjanji untuk berikan
ganjaran tertentu sekiranya anak dapat 8A dalam PMR mereka. Namun
begitu, sekiranya kita lihat anak memang telah berusaha tetapi sekadar dapat
4A 4B sahaja maka berilah juga ganjaran dalam bentuk atau amaun yang
berbeza. Sebagai contoh, kita berjanji dengan anak kalau dia dapat 8A
dalam PMRnya maka setiap A kita berikan RM50 ringgit. Sebaliknya kalau
dia tidak dapat 8A, kita tetap berikan ganjaran tetapi kali ini setiap A Cuma
dapat RM30 sahaja.
Sentiasa doakan
kejayaan anak
Doakanlah kejayaan anak-anak
sepanjang masa dan bukan hanya diwaktu musim peperiksaan sahaja. Doa
ibu bapa, terutamanya doa ibu biasanya makbul. Elakkan dari
mengeluarkan perkataan yang buruk terhadap anak kerana kata-kata kita itu
merupakan satu doa. Doakan anak kita setiap kali kita teringatkan
mereka. Misalnya ketika kita sibuk dipejabat tiba-tiba terdetik di hati
apa agaknya anak sedang buat di rumah? Ketika itu terus berdoa dalam
hati dan insyaAllah sekiranya kerap dilakukan begitu akan ada yang makbul nanti.
Saya masih teringat waktu kecil dahulu bagaimana saya terdengar doa
ibu. Saya datang dari keluarga yang miskin dan dibesarkan oleh
seorang ibu tunggal. Ibu saya biasanya turun awal pagi untuk mencari
nafkah dan pulang lewat petang dan ada ketikanya malam. Satu ketika,
sedang saya tidur-tidur ayam terdengar ibu berdoa, “Ya Allah ya tuhanku.. aku
mempunyai tiga anak lelaki, kalau tidak ketiga-tiganya berjaya maka berilah
aku salah seorang dari mereka yang akan jadi penyelamat keluarga ini.”
Mendengar doa ibu ini hati saya menyambut, “Ya Allah ya tuhanku.. biarlah
salah seorang dari penyelamat keluarga itu adalah aku”. Kemana sahaja
saya pergi dan apa sahaja saya lakukan selepas itu saya pasti terkenang doa
ibu itu. Ia menjadi pendorong dan juga benteng diri yang cukup berkesan
dalam hidup saya. Oleh itu, apabila berdoa untuk anak maka doalah
dengan suara yang didengari dan difahami oleh mereka. Seelok-eloknya
ketika berjemaah bersama agar anak-anak aminkan doa kita untuk mereka itu.
Jaga Sumber Makanan
Kita adalah apa
yang kita makan. Oleh itu berikanlah makanan yang HALAL, lazat, berzat
dan bersih untuk anak-anak kita. Makanan akan menjadi darah daging
mereka. Sekiranya anak-anak diberi makan daripada sumber yang haram
maka jangan salahkan mereka apabila mereka menjadi anak yang bermasalah,
gelap hatinya, degil, malas dan sebagainya. Ibu bapa cemerlang tidak
akan mengambil mudah perkara sepenting ini. Mulai hari semaklah sumber
pendapatan kita dan pastikan ia diredhai dan diberkati Allah s.w.t.
Tidak berputus asa
dalam mengharap rahmat dan pertolongan Allah.
Anak-anak adalah
amanah Allah dan ujian untuk kita. Oleh itu tidak perlu kita berputus
asa apabila anak-anak gagal setelah kita melakukan sesuatu usaha untuk
melihat mereka cemerlang. Kalau satu usaha tidak berjaya carilah usaha
yang lain. Kalau satu pendekatan tidak berkesan maka ubahlah kepada
pendekatan yang lain. Tidak ada satu cara yang tepat dalam membantu
anak-anak ke arah kecemerlangan. Lain anak lain kemahuannya, lain penerimaanya
dan lain kebolehannya. Oleh itu pelbagaikan pendekatan keibubapaan
sehingga kita dapat kenalpasti cara paling berkesan untuk setiap anak-anak
kita. Kalau rasa bantuan orang lain diperlukan maka jangan pula kedekut
untuk keluarkan sedikit pelaburan memasukkan anak-anak ke program-program
motivasi, khemah ibadah, kaunseling dan sebagainya. Selagi hayat
dikandung badan jangan sesekali berputus asa dalam mengharap rahmat
Allah. Apa juga yang datang ada hikmah dan kebaikan yang tersendiri
serta ujian dari Allah untuk tingkatkan keimanan kita sebagai ibu bapa.
Perlu diingat,
anak-anak perlu seimbang perkembangannya dari segi akademik, emosi, siasah
dan kerohanian. Pincang salah satu maka pincanglah masa depannya.
Dalam kita berhabis-habisan memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik
jangan pula kita lupa untuk memperuntukan masa, tenaga dan wang ringgit untuk
membangunkan emosi, sahsiah dan rohani mereka. Kalau kita malu apabila
anak-anak gagal dalam pelajaran maka kita patut lebih malu kalau anak-anak tidak
solat, kurang adab, tidak menghormati orang lain dan sebagainya.
SEKIAN.
|
Hakcipta
terpelihara © Tahun 1998 - 2003
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd. 172 A & B Jalan Gopeng, 31350 Ipoh Perak Darul Ridzuan, MALAYSIA Tel: 05 - 3134622, 3136601 Fax : 05 - 3133409 e-mel : webmaster@maptraining.com.my |
7 December 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment